Selasa, Jun 08, 2010

Jihad Harta Bukan Semata-mata Sumbangan – Dr. Yusof Al-Qaradawi.


Assalamualaikum... Salam Perjuangan.

Syeikh ‘Allamah Al-Qaradawi di dalam artikel beliau yang bertajuk “Al-Quds Masalah Umat Islam Yang Paling Utama” menyebutkan masalah yang berkaitan dengan bumi Al-Quds adalah masalah yang paling utama bagi umat untuk menyelesaikannya.

Beliau juga menyebutkan seandainya umat Islam di Palestin berjuang mengorbankan jiwa mereka maka kita (selain rakyat Palestin) wajib untuk berjihad dengan harta bukan sebagai suatu sumbangan tetapi sebagai suatu kewajipan sebagai bantuan kepada mereka untuk menentangan kehancuran dan kezaliman (yang dilakukan oleh Israel Laknatullah).

Memetik kata-kata beliau di dalam khutbahnya di Doha, seorang mukmin adalah saudara bagi mukmin yang lain dan orang-orang mukmin seperti satu jasad, dan semestinya kita menghulurkan tangan kita untuk membantu mereka agar meraka tetap berada di Al-Quds kerana orang-orang Yahudi sedang berusaha untuk menghalau mereka.

Sumber: [ Link ]

Jumaat, April 23, 2010

Usrah 23.4.2010.

Assalamualaikum... Salam Perjuangan.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT. Selawat dan salam buat junjungan Nabi Muhammad SAW. Amma Ba'du.

Usrah kami pada kali ini bermula dengan pembentangan Kelebihan membaca al-Quran. Sumber: (At-tibyan Fi Adab Hamlatil Quran) karangan Imam Nawawi Rahimahullah yang dibentangkan oleh Ustaz Muhamad Hakimi Bin Hussain di DE Cafe.

----------------------------------------------------------------------------------------

Kelebihan membaca al-Quran.
Sumber: (At-tibyan Fi Adab Hamlatil Quran) – Imam Nawawi Rahimahullah -.


Allah berfirman;

إن الذين يتلون كتب الله وأقاموا الصلوة وأنفقوا مما رزقنهم سرا وعلانية يرجون تجارة لن تبور (29) ليوفيهم أجورهم أجورهم ويزيدهم من فضله إنه غفور شكور

29. Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca kitab Allah dan tetap mendirikan sembahyang serta mendermakan dari apa yang kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara terbuka, mereka (dengan amalan yang demikian) mengharapkan sejenis perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian; 30. supaya Allah menyempurnakan pahala mereka dan menambahi mereka dari limpah kurniaNya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi sentiasa membalas dengan sebaik-baiknya (akan orang-orang yang bersyukur kepadanya).


وعن أمير المؤمنين عثمان ابن عفان رضى الله عنه قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: خيركم من تعلم القرآن وعلمه. رواه البخارى وأحمد وغيرهما.

“Daripada Amirul Mukminin Uthman bin Affan Radhiallahu ‘Anhu telah berkata, Rasulullah SAW telah bersabda: Yang terbaik dikalangan kamu adalah yang mempelajari Al-Quran dan mengajarkannya (kepada orang lain)”.


وعن عبدالله ابن مسعود رضى الله عنه قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: من قرأ حرفا من كتاب الله فله حسنة، والحسنة بعشر أمثالها، لا أقول آلم حرف، ولكن ألف حرف، لام حرف وميم حرف. (رواه أحمد والحاكم والترمذي وقال حسن صحيح

“Daripada Abdullah Ibnu Mas’ud Radhiallahu ‘Anhu telah berkata: Rasulullah SAW telah bersabda: Barangsiapa yang membaca satu huruf daripada Al-Quran maka baginya satu kebaikan, dan setiap satu kebaikan itu menyamai sepuluh kebaikan, aku tidak mengatakan Alim Lam Mim itu satu huruf tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf”.

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: كل أمتي يدخلون الجنة إلا من أبى. قالوا: ومن يأبى يا رسول الله؟ قال: من أطاعني دخل الجنة، ومن عصاني فقد أبى. (رواه البخاري عن أبي هريرة).

“Rasulullah SAW telah bersabda: Seluruh ummatku akan memasuki syurga kecuali mereka yang ingkar. Mereka berkata: Siapakah yang ingkar itu wahai Rasulullah? Nabi bersabda: Sesiapa yang mentaatiku masuk syurga dan siapa yang menentangku maka ia telah ingkar”.


تركت فيكم شيئين لن تضلوا بعدهما: كتاب الله وسنتي. (رواه الحاكم عن أبي هريرة

“Aku telah tinggalkan kepada kamu semua dua perkara tidak akan sesat selepas keduanya: Kitab Allah dan Sunnahku”.

----------------------------------------------------------------------------------------

Setelah itu usrah kami pun bersambung di sini:










* Kesemua gambar memberikan 1001 makna :D

Terima kasih kepada semua ahli usrah di atas komitmen kalian.

Khamis, April 22, 2010

Ucapan Presiden PMRAM 2010.

Alhamdulillah. Segala puji dan syukur bagi Allah s.w.t, tuhan sekalian alam. Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w, penghulu kepada segala nabi dan rasul.

Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir merupakan sebuah gerakan mahasiswa Islam yang berorientasikan program dan aktiviti untuk mentarbiyah ahli menjadi mahasiswa Islam yang bertaqwa. Bahkan PMRAM juga merupakan medium untuk melahirkan petugas-petugas Islam. Oleh sebab itu, terdapat beberapa hadaf dan matlamat yang diletakkan oleh PMRAM pada program yang dilaksanakan. Antaranya ialah dakwah dan tarbiyah, akademik dan thaqafah serta kebajikan dan hak mahasiswa.

Apabila melihat kepada suasana dan keadaan mahasiswa kini, maka PMRAM memilih tema “KEMANTAPAN FIKRAH MEMBINA SYAKHSIAH” sebagai pembawakan bagi sesi ini. Ketidakseimbangan ilmu dan fikrah yang berlaku di kalangan mahasiswa, memanggil PMRAM untuk mengatasi masalah yang berlaku. PMRAM melihat bahawa untuk membentuk peribadi muslim yang berintegriti serta mempunyai jatidiri maka seseorang itu perlu memberi perhatian yang seimbang antara ilmu thaqafah dan fikrah pemikiran.

Ramai di kalangan mahasiswa yang mengaji dan menggeledah kitab, tetapi tidak ramai di kalangan mereka yang menghayati ilmu dan kefahaman yang dipelajari. Kegiatan aktiviti harian yang disusun khusus untuk diri sendiri tanpa menghiraukan keadaan jiran di sebelah. Melihat kepada faktor ini maka PMRAM ingin membawa satu perubahan kearah yang lebih seimbang. Sebab itulah antara perlaksanaan pada sesi ini ialah penghayatan ilmu di kalangan mahasiswa serta berlakunya proses pencernaan minda. Tanggungjawab dan tugasan sebagai seorang pimpinan dianggap fardhi ain dan wajib ditunaikan. Akhlak Islam dikenali dan betul-betul difahami ketika terlibat dengan sesebuah organisasi.

Selain itu, PMRAM juga berhasrat untuk melihat setiap PMRAM Cawangan saling bantu membantu antara satu sama lain. Tidak ada lagi di sana istilah ‘BKAN ini hebat dan DPM ini kuat’. Hal ini kerana sikap mementingkan diri sendiri serta tidak hirau keadaan orang lain akan menimbulkan bibit pertelingkahan serta kelemahan di kalangan umat Islam. Oleh itu dengan bahasa realitinya, PMRAM melaksanakan konsep taakhi serta sering melaungkan slogan keramat iaitu ‘Satu Fikrah Satu Amal’. Setiap PMRAM cawangan merasai roh perjuangan yang dimainkan oleh PMRAM Pusat.

Apabila disebut maruah dan jatidiri, Islam mengajar umatnya supaya mempertahankan hak kebenaran dan meruntuhkan yang batil. Oleh itu, PMRAM yang menjadikan dasar pembawakannya adalah al-quran dan sunnah bergiat mendidik serta mentarbiyah ahli-ahlinya supaya mempunyai prinsip dan pegangan yang teguh. Mereka yang mempunyai jatidiri yang kental tidak akan mudah mengalah dan berputus asa apabila berhadapan dengan mehnah dan tribulasi. Jatidiri inilah yang PMRAM istilahkan sebagai mahasiswa yang profesional dan berintegriti.

Program dan aktiviti yang dianjurkan oleh PMRAM, dijadikan sebagai medium untuk mentarbiyah ahli supaya memiliki jiwa yang kental, sanggup berkorban, serta istiqamah dalam perjuangan. Justeru dengan tujuan dan matlamat yang diletakkan PMRAM berusaha untuk menyediakan aktivis-aktivis Islam. Mereka ini sanggup menawarkan jiwa, masa, tenaga dan kewangan demi untuk memperjuangkan kalimah Allah. Bukan sahaja sanggup bekerja di Mesir bahkan mereka ini terus istiqamah menjadi petugas-petugas Islam apabila pulang ke Malaysia kelak. Kepentingan Islam diutamakan daripada kepentingan diri peribadi.

Pada hakikatnya semua gerak kerja dan usaha yang bersungguh ini memerlukan keazaman yang kuat daripada semua pihak sama ada PMRAM Pusat mahupun PMRAM Cawangan. Waktu tidur sudah berakhir dan menjadi kewajipan bagi kita semua untuk bekerja tanpa mengenal erti penat dan lelah. PMRAM juga berhasrat semoga slogan ‘Kita PMRAM’ bukan hanya sekadar laungan bahkan diaplikasikan dalam segala gerak kerja persatuan.

KEMANTAPAN FIKRAH MEMBINA SYAKHSIAH

Shahrizan bin Mohd Hazime
Presiden
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2010.

Sumber:www.pmram.org

Sabtu, April 17, 2010

Usrah 16/4/2010.

Assalamualaikum... Salam Perjuangan.

Tajuk: Konsep Jihad Di dalam Islam.

Jihad Menurut Bahasa:
Jihad bererti: Pemberian kekuatan dan keupayaan bagi melakukan peintah atau suruhan.

Jihad menurut Istilah:
Dalam syar'i kata jihad mempunyai beberapa erti:
1. Suatu usaha untuk memerangi orang-orang kafir. Dimaksudkan juga kepada mujahadah diri, syaitan dan fasik. Mujahadah daripada syaitan iaitu menahan diri dari melakukan syubhat dan syahwat (zina). Mujahadah daripada kufar iaitu terletak pada tangan, harta, lidah, dan hati. Mujahadah daripada fasik iaitu dengan tangan, kemudian dengan lidah dan kemudian dengan hati.

2. Para Fuqaha’: mengungkapkan dengan definisi yang lebih terperinci, iaitu suatu usaha seorang muslim memerangi orang kafir yang tidak terikat suatu perjanjian setelah mendakwahinya untuk memeluk agama Islam, tetapi orang tersebut menolaknya demi menegakkan kalimah Allah.

3. Dari kontek umum jihad dalam syar’i: Dimaksudkan bagi makna selain dari makna di atas biasanya diiringi dengan sebuah kata lain sehingga konteks sama kalimah jihad itu sendiri. Ini bermakna setiap kalimah jihad dalam Al-Quran dan Sunnah maksudnya adalah memerangi orang kafir dengan senjata. Usaha bagi mengendalikan hawa nafsu dalam rangka mentaati Allah atau lebih dikenali dengan (mujahadah nafsi), seperti makna jihad dalam sabda Rasulullah SAW:

“Seorang mujahid adalah orang yang mengendalikan hawa nafsunya untuk mentaati Allah”.

Hukum Jihad.

• Adakah jihad ini fardhu kifayah atau fardhu ‘ain?

1. Fardhu Kifayah: Terjatuh hukumnya dengan perbuatan sebahagian manusia sahaja. Contoh: Solat jenazah, kapan jenazah.

2. Fardhu ‘Ain: Tidak terjatuh hukumnya daripada salah satu daripada perbuatan seseorang. Contoh: Solat, puasa.

Terdapat 4 pandangan bagi para fuqaha’:

a) Fardhu Kifayah bagi setiap keadaan.
Pandangan sebahagian Syafie seperti Abu Hurairah, Imam Nawawi – dhoif).

b) Sesungguhnya jihad ini Tatawwu’.
Pandangan Abdullah bin Al-Hassan sepertimana dalam Bidayah Ibnu Rush. Ia adalah bercanggah dengan ijmak.

c) Fardhu ‘Ain dalam setiap keadaan.
Pandangan Ibnu Musayab, firman Allah “Diwajibkan ke atas kamu al-Qital” – iaitu diwajibkan ke atas kamu berjihad.

d) Jumhur ahli ilmu dan am daripada Hanafi, Maliki, Syafi’e, Hanabilah, Zohiriyah dan lain-lain. Mereka membezakan kepada 2 keadaan:
- Sekiranya rakyat jelata yang am.
- Sekiranya bukan daripada rakyat jelata yang am.

Siapakah yang terkecuali daripada jihad?

Wajib Kifayah bagi mereka sekiranya tidak mencukupi syarat daripada wajib jihad.

Syarat wajib jihad iaitu: Islam, Baligh, Berakal, Merdaheka (bukan hamba), Lelaki, Selamat daripada musibah dan mempunyai tanggungan.

Maka tidak diwajibkan ke atas kanak-kanak, wanita, hamba, mereka yang menghidapi penyakit kronik terkecuali daripada kewajipan berjihad. Sesungguhnya mereka bukan yang ditaklifkan dari ayat jihad.

Yang dikecualikan daripada jihad:
a) Tidak baligh (kanak-kanak).
b) Orang gila.
c) Wanita.
d) Mereka yang sakit kronik.
- Tidak dihukumkan berjihad bagi mereka yang buta, tempang, kudung dan lain-lain.
e) Fakir.
f) Hamba.
- Bersepakat fuqaha’ – tidak wajib ke atas hamba itu jihad tetapi mazhab Hanafi mengatakan diharuskan sekiranya mendapat keizinan dari tuannya, Jumhur melarangnya.
g) Bukan Islam.
- Sesungguhnya syarat wajib jihad iaitu Islam.
- Sesungguhnya orang kafir ini bukan Ma’mun dalam berjihad.
h) Mereka yang tidak mendapat keizinan daripada ibubapa.
- Perlu meminta keizinan daripada ibubapanya samada kedua-duanya Islam atau salah seorang dari mereka Islam. Sekiranya salah seorang daripada mereka masih hidup, HARAM ke atasnya berjihad melainkan mendapat keizinan (sekira dua-duanya masih hidup dan Islam). Dan TIDAK HARUS baginya berjihad tanpa mendapat keizinan dari mereka (sekira salah seorang dari mereka Islam).
i) Orang yang berhutang
- Bagi mereka yang berhutang, Jumhur fuqaha’ menggariskan tidak harus baginya berjihad melainkan mendapat keizinan dari pemiutang kecuali dia menepati janji atau meletakkan cagaran (gadai).
j) Orang tua (datuk dan nenek).

Disediakan dan dibentang oleh: Ustaz Mohd Khairi Bin Kamis (Gambar: Baju Hitm & Biru).
Mahasiswa tahun 4, Syariah Islamiah, Kaherah.

Jumaat, April 16, 2010

Guna Agama: Kelab UMNO Kaherah (KUK) Cuba Raih Sokongan.

Assalamualaikum... Salam Perjuangan.

"KETAATAN KEPADA PEMIMPIN NEGARA ( Petikan dari Buletin 1 Malaysia edisi April )"
"Konsep Wasatiyah Sebagai Penjana 1 Malaysia 1 Ummah"

Melalui dua petikan berita di atas yang saya ambil daripada laman rasmi KUK dengan jelas menggunakan agama semata-mata untuk meraih sokongan daripada mahasiswa/wi Mesir. Apa yang saya kesalkan, kenyataan tersebut boleh mengelirukan serta memesongkan makna suci Islam itu sendiri.

Contohnya di dalam konteks ketaatan kepada pemimpin. Dalil yang mereka gunakan adalah sebagaimana yang Allah SWT telah sebutkan di dalam Surah An-Nisa': 59;

Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu.

Tetapi Allah SWT menyambung lagi di dalam ayat di atas,

Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.

Dalam konteks "hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat " adakah UMNO benar-benar telah mengembalikannya kepada Al-Quran dan As-Sunnah? Jikalaulah benar UMNO telah mengembalikan segala permasalahan kepada dua sumber utama tersebut nescaya UMNO tidak lagi menjadi sebuah parti politik sekular sedangkan perkara tersebut tidak pernah berlaku.

Ditambah lagi ada pra syarat tambahan yang disebutkan oleh Nabi SAW di dalam hadis;

Sabda Rasulullah yang bermaksud: "Ke atas seorang muslim wajib mendengar dan taat dalam hal yang ia suka dan tidak suka kecuali diperintah dalam hal maksiat, maka tidak boleh mendengar dan taat”. [Riwayat Bukhari dan Muslim].

Dalam konteks perjuangan UMNO, ketaatan yang diberikan adalah ketaatan yang membuta tuli. Rasuah di halalkan, penipuan dibenarkan malah KUK juga pernah mengadakan kenduri maksiat dengan mengadakan tarian gelek ketika majlis perkahwinan salah seorang ahli mereka.

Kemudian, konsep wasatiyah yang cuba diperkenalkan di dalam KUK juga tidak menepati konsep wasatiyah yang dianjurkan oleh Islam. Justeru itu, maka satu konsep yang dikenali sebagai 'Wasatiyah' yang bermaksud sederhana, pertengahan dan seimbang perlu dihayati dan diamalkan oleh umat Islam. Konsep Wasatiyah ini akan melahirkan 1 ummah yang progresif, yang berpaksikan kekuatan keimanan kepada Allah SWT dan tanpa mengabaikan kebajikan rakyat tanpa mengira bangsa, agama dalam konteks masyarakat majmuk di Malaysia.
Lebih mengelirukan apabila konsep wasatiyah UMNO yang berpaksikan kekuatan keimanan kepada Allah SWT hanya sekadar tulisan dan teori tanpa perlaksanaan yang sebenar. Konsep wasatiyah di dalam Islam adalah berasaskan keimanan 100% kepada Allah merangkumi segala aspek kehidupan, politik dan undang-undang sepertimana firman Allah SWT;

"Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan, sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata". [Al-Baqarah: 208].

Wallahu A'lam.