Jumaat, April 16, 2010

Guna Agama: Kelab UMNO Kaherah (KUK) Cuba Raih Sokongan.

Assalamualaikum... Salam Perjuangan.

"KETAATAN KEPADA PEMIMPIN NEGARA ( Petikan dari Buletin 1 Malaysia edisi April )"
"Konsep Wasatiyah Sebagai Penjana 1 Malaysia 1 Ummah"

Melalui dua petikan berita di atas yang saya ambil daripada laman rasmi KUK dengan jelas menggunakan agama semata-mata untuk meraih sokongan daripada mahasiswa/wi Mesir. Apa yang saya kesalkan, kenyataan tersebut boleh mengelirukan serta memesongkan makna suci Islam itu sendiri.

Contohnya di dalam konteks ketaatan kepada pemimpin. Dalil yang mereka gunakan adalah sebagaimana yang Allah SWT telah sebutkan di dalam Surah An-Nisa': 59;

Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu.

Tetapi Allah SWT menyambung lagi di dalam ayat di atas,

Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.

Dalam konteks "hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat " adakah UMNO benar-benar telah mengembalikannya kepada Al-Quran dan As-Sunnah? Jikalaulah benar UMNO telah mengembalikan segala permasalahan kepada dua sumber utama tersebut nescaya UMNO tidak lagi menjadi sebuah parti politik sekular sedangkan perkara tersebut tidak pernah berlaku.

Ditambah lagi ada pra syarat tambahan yang disebutkan oleh Nabi SAW di dalam hadis;

Sabda Rasulullah yang bermaksud: "Ke atas seorang muslim wajib mendengar dan taat dalam hal yang ia suka dan tidak suka kecuali diperintah dalam hal maksiat, maka tidak boleh mendengar dan taat”. [Riwayat Bukhari dan Muslim].

Dalam konteks perjuangan UMNO, ketaatan yang diberikan adalah ketaatan yang membuta tuli. Rasuah di halalkan, penipuan dibenarkan malah KUK juga pernah mengadakan kenduri maksiat dengan mengadakan tarian gelek ketika majlis perkahwinan salah seorang ahli mereka.

Kemudian, konsep wasatiyah yang cuba diperkenalkan di dalam KUK juga tidak menepati konsep wasatiyah yang dianjurkan oleh Islam. Justeru itu, maka satu konsep yang dikenali sebagai 'Wasatiyah' yang bermaksud sederhana, pertengahan dan seimbang perlu dihayati dan diamalkan oleh umat Islam. Konsep Wasatiyah ini akan melahirkan 1 ummah yang progresif, yang berpaksikan kekuatan keimanan kepada Allah SWT dan tanpa mengabaikan kebajikan rakyat tanpa mengira bangsa, agama dalam konteks masyarakat majmuk di Malaysia.
Lebih mengelirukan apabila konsep wasatiyah UMNO yang berpaksikan kekuatan keimanan kepada Allah SWT hanya sekadar tulisan dan teori tanpa perlaksanaan yang sebenar. Konsep wasatiyah di dalam Islam adalah berasaskan keimanan 100% kepada Allah merangkumi segala aspek kehidupan, politik dan undang-undang sepertimana firman Allah SWT;

"Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan, sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata". [Al-Baqarah: 208].

Wallahu A'lam.

0 Komentar: